1. Imam Terlupa Tahiyat Awal
Soalan:
Apakah hukumnya jika seorang Imam itu yang sepatutnya duduk tahiyat awal
tetapi dia terus bangun kerana terlupa? Apabila dia sudah tegak berdiri dia
teringat dan terus duduk untuk tahiyat awal. Adakah batal sembahyang Imam
tersebut?
Jawapan:
Jika imam terlupa duduk tahiyat awal dan dia terus berdiri. Seandainya
berdirinya tersebut belum sempurna dan dia duduk kembali, maka dibolehkan
berbuat demikian. Namun jika berdirinya telah sempurna maka imam perlu
meneruskan solatnya hingga akhir dan boleh menggantikannya dengan sujud sahwi.
2. Bacaan Al-Fatihah Makmum dalam Solat
Berjemaah
Soalan:
Kalau kita menjadi makmum sembahyang fardu, adakah kita perlu membaca
Al-Fatihah semasa imam membaca surah. Dan kalau perlu, adakah sah sembahyang
kita apabila kita tidak sempat habis membaca Al-Fatihah kerana imam membaca
surah pendek. Kes ini adalah bukan kes makmum masbuk atau muafik?
Jawapan:
Mengikut pendapat jumhur ulamak termasuklah imam Asy-Syafi'i sendiri, membaca
Al-Fatihah di dalam solat bagi makmum adalah satu rukun daripada rukun-rukun
solat. Ini bermakna tidak sah solat makmum itu jika ia berkesempatan membaca
Al-Fatihah tetapi ditinggalkannya dengan sengaja.
Dalam
sebuah hadis yang sahih Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada solat (tidak
sah) bagi sesiapa yang tidak membaca Surah Al-Fatihah". Ini berbeza dengan
pendapat imam Abu Hanifah yang tidak mewajibkan makmum membaca surah
Al-fatihah. jika anda membaca agak lambat dan imam pula agak pantas sehingga
anda tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah. Dalam hal ini sekiranya imam
telah rukuk anda merasakan anda boleh menghabiskan surah Al-Fatihah sebelum
imam sujud, maka hendaklah anda menghabiskanya.
Jika
anda rasa tidak sempat berbuat demikian, maka anda hendaklah rukuk bersama imam
kerana bacaan imam akan dikira sebagai bacaan makmum seperti juga kedudukannya
orang yang masbuk. Ini kerana dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan
Rasulullah SAW pernah menjelaskan: imam itu dilantik untuk diikuti oleh makmum
sekiranya ia rukuk maka hendaklah anda semua rukuk dan sekiranya ia sujud maka
hendaklah anda semua sujud. Bagaimanapun bagi sesetengah ulamak Syafi'i seperti
imam Nawawi orang terlibat luput rakaat pertama dan ia dikehendaki menambah
rakaat yang luput itu diakhir solatnya.
3. Membaca Jahar (kuat) dan Sir
(perlahan) dalam Solat
Soalan:
Mengapakah dalam solat berjamaah hanya waktu zohor dan asar sahaja makmum
kena membaca surah sendiri, sedangkan tiga waktu yang lain itu makmum hanya
membaca fatihah saja?
Jawapan:
Nabi pernah membolehkan para makmum membaca dalam solat bila imam mengeraskan
bacaan. Ketika itu solat Subuh, bacaan sahabat mengganggu baginda. Selesai
solat baginda bersabda: "Mungkin kamu membaca di belakang imam? Kami
menjawab: "Betul, dengan bacaan yang cepat ya Rasulullah". Baginda
bersabda: "Jangan kamu lakukan itu kecuali membaca al Fatihah, kerana
solat tidak sah tanpa membacanya". (HR. Bukhari)
Kemudian
baginda melarang semua bacaan pada solat jahar (bacaan kuat) iaitu setelah
baginda mengerjakan solat jahar (Solat Subuh). Baginda bersabda: "Adakah
di antara kamu tadi yang membaca bersama denganku ?".
Salah seorang sahabat menjawab: "Benar ya Rasulullah". Nabi bersabda:
"Sekarang aku katakan, janganlah kamu menyaingiku".
Menurut
Abu Hurairah semenjak mendengar itu mereka berhenti membaca bila Rasulullah
mengeraskan bacaannya dalam solat. Mereka membaca berbisik bila imam mengeraskan
bacaannya. Memusatkan perhatian terhadap bacaan imam oleh Rasulullah SAW
dinyatakan sebagai suatu kesempurnaan mengikut imam. Rasulullah SAW bersabda:
"Imam hanya untuk diikut, apabila ia takbir, takbirlah, apabila ia membaca
perhatikanlah". (HR Abu Daud dan Muslim)
Mendengar
bacaan imam, juga sudah cukup menjadi bacaan orang yang di belakang. Baginda
bersabda: "Siapa yang mengikut imam, bacaan imam adalah bacaannya"
(Riwayat Daruquthni dan Ibnu Majah). Ini dalam solat jahar (bacaan kuat) saja.
Untuk
lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim
dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar)
dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak.
Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga
solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum
mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda,
dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka".
(Sila rujuk "Contoh Solat Nabi": Karya Muhammad Nasyiruddin Albani)
4. Dua Imam Satu Surau
Soalan:
Apakah hukumnya sembahyang dua imam (dua kumpulan makmum) dalam satu surau
yang hanya dipisahkan oleh dinding, seandainya sembahyang tersebut ialah
sembahyang fardhu yang dilakukan serentak?
Jawapan:
Mengerjakan solat dengan dua imam dalam satu surau dalam masa yang sama
hukumnya tidak boleh. Dalam masalah ini kami kemukakan tentang imam tetap dalam
satu masjid. Jika satu jamaah hadir disuatu masjid yang mempunyai imam tetap
tetapi pada masa itu ia tidak hadir, maka diperintahkan kepada mereka
menghantarkan utusan menjemput ia hadir. Tetapi jika bimbang luput waktu solat,
maka dibolehkan seorang yang lain tampil menjadi imam. Kata Imam Nawawi, jika
dibimbangkan timbul fitnah hendaklah mereka solat bersendirian dan diistihbabkan
kepada mereka mengulangi solat bersama imam itu jika ia hadir. Jadi jelaslah
jika tidak hadir saja imam tetap disuruh solat sendirian jika khuatir
menimbulkan fitnah apakah lagi dengan sengaja membuat jemaah sendiri di
belakang atau di sebelah imam yang sedang solat.
Seandainya
kita orang yang datang kemudian, sedangkan di dalam surau atau masjid tersebut
ada dua imam yang sedang berjemaah, maka dalam hal ini ada beberapa pendapat.
Jika makmum dapati dua orang imam masing-masing sedang solat dengan jemaahnya,
maka ikutilah imam yang tetap. Namun jika keduanya tidak termasuk imam yang
tetap dan masing-masing sebaya dan memiliki ciri-ciri imam yang dikehendaki,
cuma perbezaannya yang satu cepat bacaannya sedangkan yang satu lagi lambat.
Menurut Al Faurani dalam kitab Al Ibanah "Hendaklah dilihat kepada makmum
itu sendiri. Jika ia seorang yang lambat membaca maka hendaklah ia mengikut
imam yang lambat membaca. Sebaliknya jika ia cepat membaca maka hendaklah ia
mengikuti imam yang cepat membaca".
Imam
Al Tarmizi telah menjelaskan dalam Al Sunah iaitu diistihbabkan kepada imam
bertasbih enam kali dalam rukuk dan sujud supaya makmum di belakangnya sempat
bertasbih tiga kali". Kemudian menurut Imam Syafi'e dalam kitab Al-Umm
"Pada hemah saya eloklah setiap masa bagi imam menambahkan tasyahud,
tasbih dan bacaan surah sekadar yang dilihatnya boleh memberi kesempatan kepada
makmum yang berat lidahnya menyempurnakan bacaannya yang perlu dibaca
olehnya."
5. Kanak-Kanak dalam Saf
Soalan:
Saya nak tahu tentang hukum kanak-kanak yang belum baligh sembahyang bersama
dengan kita. Apa hukumnya, tolong jelaskan?
Jawapan:
Jika kita solat berjamaah sedangkan didalam saf tersebut terdapat kanak-kanak,
maka solat kita tetap sah bahkan pahala berjamaah tetap tidak terjejas, cuma
hanya berkurang dalam pahala saf. Jadi perkara yang tidak baik jika kita
melarang kanak-kanak ikut bersama-sama orang tua berjamaah di masjid. Bahkan
setengah masjid di tempat kita sengaja membuat pengumuman melarang kanak-kanak
umur lima tahun masuk ke dalam masjid. Sebetul cara ini secara tidak langsung
kita telah mematikan minat anak untuk datang dan mencintai masjid. Padahal
Rasulullah SAW pernah membawa cucu baginda ke dalam masjid ketika baginda
menjadi imam. Ketika itu Hassan dan Hussein memanjat bahu baginda sehingga
baginda melamakan sujudnya. Ini membuktikan bahawa Rasulullah begitu peka
terhadap perkembangan agama kanak-kanak.
Barangkali
masyarakat kita perlu merubah minda yang keliru dalam mendidik anak-anak
mencintai masjid dan melatih mereka dalam solat. Jangan terlalu memperhatikan
pahala saf sehingga minat anak-anak dikubur atau diabaikan. Wallahu A'lam.