MUAFIQ DAN MASBUQ
Definisi masbuq:
Makna Masbuq ialah makmum yang ketinggalan. Iaitu makmum yang tidak mendapat
masa yang cukup untuk membaca al-Fatihah bersama imam.
Contoh dan
gambaran Masbuq :
Ini disebabkan semasa ia masuk berjemaah imam sedang rukuk atau hampir-hampir
akan rukuk. Orang yang berkeadaan begini sekiranya ia dapati imam sedang rukuk
maka hendaklah ia terus bertakbir serta niat sekali dan setelah berdiri
sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah) teruskanlah rukuk bersama imam.
Sekiranya dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, maka itu dikira satu rakaat
walaupun tidak membaca al-Fatihah kerana orang yang masbuq al-Fatihahnya di
tanggung oleh Imam.
Sekiranya ia berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, maka
hendaklah ia membaca al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut
imam dalam rukuk dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk itu.
Definisi Muwafiq:
Makna muwafiq pula ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup bersama imam
untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana.
Contoh dan
gambaran Muwafiq:
Jika sekiranya muafik masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam
telah rukuk, maka hendaklah ia menghabiskan al-Fatihah itu sehingga imam
selesai sujud dan bangun daripada sujud yang kedua.
Sekiranya makmum masih tidak selesai juga sedangkan imam sudah pun bangun
berdiri ataupun duduk tahiyat akhir maka hendaklah makmum itu memilih sama ada
berpisah dengan niat mufaraqah (berpisah) ataupun terus mengikut perbuatan imam
dan rakaat itu tidak di ambil kira. Jika tidak berbuat salah satu antara kedua
hal tersebut,maka batallah solatnya.
Hukum orang
muwafiq
1) Hukum bagi orang muwafiq dimaaf
kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya.Tidak
termasuk rukun yang pendek.
2) Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang pendek
seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahud awal dan duduk antara dua
sujud.
Hukum orang yang masbuq
Ma’mum yang masbuq hukumnya dimaafkan meninggalkan bacaan fatihah, kerana
fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh ma’mum itu
dikira semuanya ditanggung oleh imamnya.
1) Dari Sahal bin Saad r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Imam yang menanggung
pembacaan, apabila baik bacaannya maka pahalanya untuk dirinya dan untuk mereka
(ma’mum), dan jika rosak bacaannya maka dosanya di atas dirinya sendiri dan
bukan atas mereka”. (hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)
2) Imam terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat. Apabila ma’mum berdiri
daripada sujudnya didapati imamnya sudah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan
bacaan Al- Fatihah, maka hukumnya wajib ke atas ma’mum itu rukuk bersama-sama
imamnya kerana ia seperti orang masbuq dan dia mendapat rakaat itu.
3) Jika seorang makmum masbuq rukuk terkemudian daripada imam sebab ia membaca
al fatihah hingga imamnya bangkit daripada rukuk, maka luputlah rakaat itu dan
wajib ke atasnya tambah satu lagi rakaat selepas salam imamnya.
Duduk
Masbuq
Masbuq duduk mengikuti duduk imam. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
"Sesungguhnya imam itu diangkat untuk diikuti" (HR.Al-Bukhari dan
Muslim).
Makmum masbuq masih mendapat pahala berjemaah, apabila makmum dapat mengikutnya
sebelum imam memberi salam. Akan tetapi makmum yang mengikuti dari mula
mendapat ganjaran lebih banyak daripada makmum yang mengikuti kemudian.
2 comments:
Gambar dan informasi yang menarik tahniah
menarik dan informasinya untuk murid2
Post a Comment