Mana Lebih Baik...?


SOLAT SENDIRIAN ATAU SOLAT BERJEMAAH?

Sebagai umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, kita amat digalakkan untuk mencontohi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam hal pelaksanaan ibadah solat. Memandangkan begitu tingginya nilai ibadah solat dalam Islam, maka kita sebagai Muslim juga dituntut untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah tersebut, sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kepada kita.
Antara perkara utama yang harus kita contohi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam hal solat ini ialah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah. Melalui perkataan Nabi sallallahu alaihi wasallam kita dapati bahawa baginda amat menitik beratkan pelaksanaan solat fardu secara berjemaah ini dalam kalangan umatnya. Bahan dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
Malah dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim juga, bahawa pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memanggilnya dan bertanya, "Adakah engkau mendengar laungan azan?" Lelaki buta itu menjawab, "Ya." Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kemudiannya berkata, "Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah)."
Mesej daripada hadis ini cukup mudah, iaitu jika lelaki buta pun Rasulullah sallallahu alaihi wasallam anjurkan supaya bersolat secara berjemaah, inikan pula kita manusia normal dan mendengar azan hampir setiap hari. Sudah pasti diri kita lebih dituntut oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam untuk melaksanakan solat berjemaah.
Melalui sirah baginda sallallahu alaihi wasallam, kita dapati bahawa sejak baginda berhijrah ke Madinah, baginda tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sehinggalah baginda wafat (selama 13 tahun di Makkah sejak kedatangan Islam, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat terpaksa solat secara bersembunyi atau bersendirian di rumah masing-masing kerana sentiasa berada dalam keadaan ditekan oleh kaum Quraisy). Malah, ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam keadaan sakit tenat pada penghujung hayat baginda, baginda dipapah oleh para sahabat radiallahuanhu untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Hal ini sememangnya menampakkan betapa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ingin mendidik umatnya agar mengambil berat akan ibadah solat fardu secara berjemaah ini.
Mengenai hukum mengerjakan solat fardu secara berjemaah ini, antara pendapat yang termasyhur ialah daripada Imam Nawawi. Menurut beliau, solat berjemaah pada lima waktu yang fardu (selain solat Jumaat) hukumnya adalah fardu kifayah, yang mana diwajibkan bagi individu lelaki yang berakal, telah baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak uzur syarii. Hukum fardu kifayah ini bermaksud apabila ada sekumpulan orang di sesebuah mukim atau kampung mendirikan solat berjemaah di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang di situ yang tidak menunaikan solat berjemaah. Namun jika tidak ada seorang pun di dalam mukim atau kampung tersebut yang menunaikan solat berjemaah, maka semua penduduk di situ mendapat dosa.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...